Ahad, 12 April 2009

Tuanku Sultan perkenan S. Manikumar jadi Exco


ALOR SETAR, 8 April: S Manikumar yang baru sahaja memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Selambau kelmarin, akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit pada 13 April ini.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini. Katanya, majlis angkat sumpah sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri itu diadakan serentak dengan Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Pingat-Pingat Kebesaran sempena sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan yang ke-81. Manakala angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri akan diadakan pada 19 April serentak dengan Mesyuarat Kali Ke Lima Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-12.
Sehubungan itu lagi ujarnya, KDYMM Tuanku Sultan sudah dimaklumkan dan berkenan dengan pelantikan S Manikumar sebagai Ahli Exco yang baru. “Saya sudah menghadap KDYMM Tuanku Sultan dan memaklumkan kemenangan S Manikumar dalam pilihanraya kecil kecil Bukit Selambau kelmarin dan Tuanku Sultan berkenan untuk melantik S Manikumar sebagai Ali Exco yang baru,” katanya.
S. Manikumar 35 tahun, akan menggantikan tempat V Arumugam yang telah meletak jawatan pada 8 Februari lalu, sebelum ini portfolio yang dipegang oleh V Arumugam telah dipangku oleh YB Mohamad Radzhi Salleh iaitu ADUN Lunas yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri.
Dalam rombakan portfolio baru-baru ini YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan sengaja mengosongkan portfolio itu menanti untuk diisi oleh calon dari Parti Keadilan Rakyat juga.
Dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau S Manikumar telah menang dengan majoriti 2,403 undi, mendapat 12,632 undi menewaskan calon terdekat Datuk S Ganesan yang mendapat 10,229.

Tiada ulasan: