Rabu, 1 April 2009

Skuad Hijau Kuning Mula Menonjol

ALOR SETAR - Tatkala Perlis, Selangor dan Kelantan mencuri tumpuan dalam saingan awal memburu mahkota Liga Super pada musim ini, penyandang juara Kedah yang 'tenggelam' mula menampakkan ciri dan keupayaannya sebagai pasukan elit negara.
Meskipun mengharungi perlawanan awal musim dalam suasana kurang memberangsangkan, skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu kini tidak boleh disisih atau dinafikan peluang mereka untuk mempertahankan gelaran juara liga buat musim ketiga berturut-turut.
Jika pada awal Februari lalu, Sang Kenari menghuni tangga kedua tercorot Liga Super selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan, namun pasukan itu mengorak langkah menuju ke kelompok lima pasukan teratas.
Malah pasukan Hijau Kuning hanya dipisahkan dengan perbezaan tiga mata sahaja dengan peneraju liga, Perlis yang mengumpul 22 mata apabila mencatat enam kemenangan berturut-turut.
"Saya optimis Kedah mampu merpertahankan kejuaraan Liga Super jika para pemain terus komited dan berkerja kuat, Insya-Allah.
"Apa yang kami buat sekarang ialah mengambil tiga mata penuh dalam setiap perlawanan untuk naik satu langkah demi satu langkah dalam saingan liga," katanya Mohd. Azraai ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam perlawanan terbaru menentang Pahang di Stadium Darul Makmur kelmarin, Kedah menewaskan pasukan Tok Gajah 4-2 untuk berada dalam kelompok selaku pencabar gelaran Liga Super.
Beliau mengakui Kedah melalui perlawanan yang gugup pada awal musim kerana ketiadaan pemain import dan pada masa itu agak keterlaluan untuk mengharapkan pemain yang baru digandingkan berada pada tahap terbaik mereka.
Ini kerana, katanya, mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan membentuk persefahaman antara pemain baru dan lama yang digandingkan

Tiada ulasan: