Selasa, 28 April 2009

Malu Alah Dengan Dasar Islam

ALOR SETAR: Dasar ‘amar makruf nahi munkar’ yang diamalkan Kerajaan Negeri Kedah telah dapat mengawal aktiviti hiburan dalam negeri ini dari penganjuran terbuka dan bertentangan syarak sekaligus membendung gejala sosial di kalangan muda-mudi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Kesenian Dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, terdapat pihak-pihak yang kurang jelas mengenai perkara tersebut datang berbincang dan mendapatkan pandangan berhubung aktiviti berkaitan hiburan.

“Ini menunjukkan mereka menghormati dan cuba memahami kita. Tetapi ada juga pihak menganjurkan aktiviti hiburan yang ‘buat-buat’ tak tahu termasuk juga dengan sengaja masih melanggar dasar itu.

“Macam program yang pernah dianjurkan di bawah dua kementerian sebelum ini. Mereka sengaja membelakangkan kita,” tegasnya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Kelab YSP Bikerz di Mergong, di sini 26 April lalu.

Untuk itu, beliau menggesa kabinet baru Kerajaan Pusat yang berslogankan ‘Satu Malaysia’ agar dapat menghormati dasar Kerajaan Negeri Kedah kerana negeri ini dan juga Pakatan Rakyat merupakan sebahagian daripada Malaysia.

Pihak beliau juga katanya, akan memastikan agar Pentadbir Pejabat Daerah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memantau aktiviti hiburan berkenaan kerana dilaporkan masih wujud penganjuran tanpa permit.

Pada peringkat ini jelas beliau, kerajaan negeri masih menggunakan pendekatan mendidik dan menerang. Bagaimanapun katanya, dasar itu dianggap telah mengawal secara tidak langsung apabila terdapat pihak ‘malu-alah’ untuk penganjuran aktiviti hiburan yang tidak dibenarkan.

“Sebagai contoh kita ambil semasa Pakatan Rakyat menerajui Perak, Jom Heboh pun ‘malu-alah’ nak masuk ke sana. Sekarang ini, di bawah kerajaan haram pimpinan Zambry Kadir, Jom Heboh pun masuk semula.

“Sedangkan program itu pernah difatwakan sebagai haram oleh Mufti Perak sendiri, sekarang beliau (mufti) pun membisu. Masa Zambry mula-mula dilantik Menteri Besar media tunjuk dia pergi jumpa Mufti itu. Kenapa sekarang buat Jom Heboh? Dia dah ‘campak’ Mufti tu ke mana?” persoal Dr Hamdan menempelak.

Beliau turut berharap dasar itu akan menyebabkan lebih banyak pihak termasuk Kerajaan Pusat agar ‘malu-alah’ dari terus menganjurkan aktiviti yang bertentangan dengan dasar tersebut di negeri ini.

“Jika mereka masih teruskan bermakna mereka menganjurkan program haram dan bermakna juga slogan ‘One Malaysia’ itu menjadi satu lagi koleksi retorik Barisan Nasional,” katanya menyindir.

1 ulasan:

tempursakti berkata...

Salam YB Dr.,
"Amar makruf nahii mungkar" jika itu yang diamalkan oleh semua umat Islam bahkan kerajaan ternyata akan memberikan keberkatan dunia dan akhirat.
Tertarik dengan pengurangan gejala hiburan yang mengasyikkan dikedah,tetapi bagaimana dengan perjudian?..YB tak tau ka,dalam negeri kedah tak kurang daripada 1000 kedai dalam kawasan Majlis Daerah Kerajaan disetiap daerah ada mesin mesin judi yang berselindung disebalik cyber cafe...di SP saja tak kurang dari 150 pusat perjudian Internet yang beroperasi tanpa lesen yang tidak dipantau oleh PBT dan Kerajaan.
Apakah amalan dasar "amar makruf nahi mungkar"pimpinan Kerajaan PAS di kedah terlepas pandang bentuk perjudian seperti itu?...
Harap YB Dr. dan kerajaan negeri benar-benar dan serius melaksanakan amalan amar makruf nahi mungkar dengan pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan tidak hanya sekadar retorik dan melepaskan batuk ditangga semata-mata sekadar mengabui mata rakyat kedah yang dah banyak kelabu lanie......