Isnin, 27 April 2009

Luaskan Bidang Pemotoran

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah berhasrat menjadikan bidang permotoran sebagai sebahagian program untuk golongan belia di negeri ini, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Kesenian Dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib.
Menurut beliau, pihaknya dalam rangka mengadakan siri jelajah Mini Festival Belia Sejahtera yang merangkumkan pelbagai acara termasuk sukan permotoran. Beliau berharap, ianya akan menarik minat golongan belia dan mengasuh mereka mengenai bidang permotoran. Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mendekati belia antaranya melalui sukan permotoran yang sihat.
“Hajat besar kita sebagaimana yang diminta oleh Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, kalau boleh kerajaan negeri akan menyediakan litar yang sempurna, tetapi itu merupakan perancangan yang kehadapan.
Saya juga difahamkan oleh penganjur Cub Prix baru-baru ini, kalau sekiranya di Kedah kita boleh mewujudkan sebuah litar permotoran yang baik, ia boleh memberi peluang kepada peminat-peminat sukan permotoran. “Dari selatan Thailand boleh datang ke sini dan bahagian Utara, kerana kemudahan ini belum ada di negeri-negeri sebelah Utara. Itu harapan untuk kita laksanakan di masa akan datang,” ujar beliau ketika berucap pada pelancaran Kelab YSP Bikerz di Mergong, di sini 26 April lalu.
Selain mempunyai kelab motosikal, bidang permotoran yang luas juga katanya, boleh menjalin hubungan kerjasama dengan bengkel-bengkel motosikal untuk menganjurkan program-program berkaitan permotoran kepada para belia yang berminat.
Kerajaan negeri juga ujar beliau, melihat golongan belia sebagai komuniti yang perlu diberi perhatian bersama oleh anggota masyarakat. “Kita sama-sama perlu memikul tanggung jawab membendung belia-belia kita supaya tidak terus dirosakkan dengan suasana yang ada sekarang. Saya melihat persekitaran hari ini amat berisiko untuk belia-belia kita. Kalau pun kita tidak dapat membasmi, tetapi kita mengurangkan. Seterusnya kita memberikan harapan kepada belia kita agar persekitaran di luar sana tidak menjadi begitu menakutkan,” katanya mengisi nasihat pada majlis tersebut.
Komuniti motosikal tersebut ditubuhkan di bawah YATT Spare Parts (YPS) iaitu satu-satunya syarikat Bumiputera yang menjadi pembekal alat ganti dan aksesori motosikal di negeri ini. Turut diadakan pada hari tersebut ialah pertandingan motosikal cantik, kemahiran teknikal dan persembahan permotoran.
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad, bekas juara Malaysia Cub Prix, Mohd Yasir Said, wakil Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kedah (UPEN), wakil Giat Mara dan wakil Agro Bank.

Tiada ulasan: