Khamis, 19 Mei 2011

Generasi baru dijinakkan dengan bahan sejarah

ALOR SETAR, 15 Mei - Benarkah sejarah berupaya menanam semangat jati diri dan cintakan bangsa serta tanah air? Sama ada benar atau tidak, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah telah berjaya menarik para pelajar sekolah menengah sekitar Alor Setar mengikuti seminar yang berlandaskan sejarah serta ketamadunan tanah air.

http://wartakedah.net/images/prof1.jpg


Usaha murni ini telah berjaya merapatkan generasi baru terutama para pelajar dengan generasi lama terdiri daripada pakar sejarah serta ahli-ahli persatuan sejarah.

Sejarah akan berubah selagi ada pengkaji dan penemuan artifak baru-baru ini sangat menggemparkan kerana berjaya membuktikan tamadun Melayu Semenenjung bermula di Kedah semenjak abad ke-4 Masihi.

Ini berdasarkan penemuan kilang melebur bijih di Kampung Cemara, Jeniang dalam Daerah Sik dan kompleks industri besi di Sungai Batu dalam Daerah Kuala Muda.

http://wartakedah.net/images/prof.jpgDemikian diberitahu Prof Dr Mokhtar Saidin dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia pada ceramah Tamadun Kedah Sebelum Islam dengan tajuk ‘Sumbangan Kompleks Sungai Batu Kepada Kerajaan Kedah Tua Kurun Pertama hingga ke-4 Masihi’ di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Kedah.

Katanya, semua bukti itu lahir dalam bentuk struktur binaan dan barangan perdagangan seperti seramik, manik, kaca dan porselin.

“Contoh batu-bata serta arang yang terdapat di situ dihantar ke makmal di luar negara dan keputusan menunjukkan contoh itu terhasil pada awal abad ke-4 Masihi dan aktiviti peleburan besi sejak kurun pertama hingga ke-14 Masihi lagi,” katanya di hadapan para pelajar dan peminat sejarah berjumlah 200 orang.

Menurutnya, struktur senibina pengkalan atau jeti tepi sungai menunjukkan aktiviti perdagangan yang pesat serta struktur organisasi masyarakat yang tinggi sehingga terdapat antara mereka ahli geologi yang mampu mengenal besi mentah untuk dilombong dan dibawa ke tapak Sungai Batu untuk dileburkan bagi pelbagai kegunaan.

Masyarakat setempat ketika itu sudah ada yang bertindak sebagai arkitek membina jeti, bangunan beserta dewan, bilik makan selengkapnya selain bahan ini diniagakan kepada pedagang luar yang singgah di Sungai Batu.

Berikutan itu katanya, penemuan itu mendedahkan kepentingan Kedah Tua di Lembah Bujang dalam kajian tamadun awal rantau ini khasnya dan dunia amnya.

Katanya, rekod awal menyatakan kerajaan Kedah Tua meliputi keluasan sekitar 400 kilometer di sempadan bahagian Selatan Bukit Mertajam, Utara Bukit Choras, Barat Selat Melaka dan di Timur Lebuhraya Utara Selatan.

“Kajian menunjukkan Kedah Tua berlangsung sejak akhir kurun ke- 4 hingga ke-14 Masihi dengan pembahagian kawasan mengikut masa. Perkembangannya dikaitkan dengan bukti pelayaran Selat Melaka yang digunakan sejak zaman sebelum Masihi memungkinkan Kedah Tua wujud sebelum abad ke 4 Masihi lagi,” katanya.

Bukti ini diperkukuhkan dengan kajian aras laut kuno di Kedah Tua didapati pada kurun pertama hingg ke-3 Masihi, muara Sungai Merbok letaknya di sekitar Sungai Batu.

“Kajian yang dilakukan pada tahun 2007 menemukan jumpaan batu-bata di permukaan ladang kelapa sawit dan di kiri kanan jalan raya Semeling ke Merbok yang memberi sumbangan bukti Sungai Batu adalah kesan tinggalan tamadun Kedah Tua,” katanya.


Seminar itu dirasmikan oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri YB Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib yang diwakili oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah Dr Zahidi Dato’ Zainal Rashid. Turut hadir Yang Dipertua PSMCK Dato’ Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf.

Tiada ulasan: