Selasa, 2 Februari 2010

Perkongsian Pintar Budaya Kedah-Kelantan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM

KOTA BHARU: Atas agenda bersama untuk memartabatkan seni budaya serumpun sebagai khazanah warisan yang dipusakai, Kedah dan Kelantan telah menjalin hubungan antara Majlis Kebudayaan kedua-dua negeri tersebut.

Hubungan tersebut dirakamkan melalui kunjungan rasmi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah diketuai Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib selaku Yang DiPertuanya bertemu Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan yang juga dipengerusikan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan, di sini pada 1 dan 2 Februari lalu.

Menurut Dr Hamdan, Kelantan menjadi syor dari anggotanya kerana tertarik kepada pengalaman dan kejayaan seni budaya yang berkembang subur di negeri itu.

Sementara Takiyuddin pula mengalu-alukan hubungan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘perkongsian pintar’ memandangkan kedua negeri tersebut mempunyai perkaitan rapat dari aspek sejarah seni budaya yang banyak dipengaruhi pemerintahan Kerajaan Siam.

Dalam ucapannya, beliau berkongsi pengalaman Kelantan ketika berlakunya pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada tahun 1990 dimana timbul perasaan was-was di kalangan budayawan dan seniman yang bimbang seni budaya akan terkubur berikutan kerajaan negeri ketika itu meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran.

Bagaimanapun ujarnya, selepas 20 tahun mentadbir, terbukti kerajaan negeri yang diterajui PAS itu dengan tema “Membangun Bersama Islam” tidak pernah menyekat atau memberi ancaman kepada aspek seni budaya.

“Sebaliknya dipelihara dan dijaga malahan dipupuk supaya ianya tidak pupus dimakan zaman. Kerana itu di Kelantan ada satu pegangan dalam aspek budaya yang berbunyi ‘Adat dibedung, budaya disanjung, syariat dijunjung’,” ujarnya menghuraikan ringkas pepatah tersebut.

Menurut beliau, bukan sahaja dikekalkan keasliannya, tetapi aspek kesenian dan kebudayaan juga telah diselaraskan sesuai dengan kehendak syariat dan akidah.

Hasilnya maklum Takiyuddin, selepas 8 tahun mentadbir, kerajaan negeri berjaya memperkenal Dasar Kebudayaan yang digariskan dengan penglibatan bersama tokoh-tokoh budaya, agama dan sejarah.

Pun begitu katanya, kerajaan terpaksa menghentikan sementara beberapa jenis acara kebudayaan seperti Wayang Kulit, Menora, Makyong dan Main Puteri atas nasihat tokoh agama kerana terdapat aspek-aspek tertentu dalam persembahannya yang dianggap bercanggah dengan akidah dan syariat.

Bagaimanapun selepas dibuat kajian dan diadakan pengubahsuaian melalui perbincangan dengan tokoh-tokoh berkenaan, hanya wayang kulit dibenarkan semula di mana tiada lagi jampi mentera dan pemujaan selain jalan cerita juga ditukar kepada kehidupan realiti.

Tegas beliau, kerajaan negeri akan tetap mempertahankan seni budaya sebagai satu amanah warisan dan hanya membuang perkara yang bercanggah sebelum ia dipersembahkan ke khalayak ramai.

Dalam mengawal segala aspek tersebut, kerajaan negeri ujarnya mewujudkan enakmen berkaitan yang turut mendapat kerjasama daripada pihak polis.

Semua anggota Majlis Kebudayaan Negeri Kedah yang mendengar taklimat daripada Takiyuddin nyata kagum dengan perkembangan tersebut khususnya berhubung dasar-dasar yang digariskan Kerajaan Negeri Kelantan.

Selain itu, anggota yang hadir turut menyuarakan cadangan untuk Dr Hamdan mengemukakan ‘Dasar Pandang Ke Pantai Timur’ dan membawa pulang segala keunikan seni budaya di Kelantan ke Kedah.

“Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) selalu pesan, kalau kita buat perkara baik dan orang tiru kita, kita akan dapat pahala. Jadi ambillah (dasar-dasar tersebut).

“Kelantan telah kemukakan dan terpulang untuk mana-mana pihak yang hanya perlu ambil laksanakan dan aplikasikan,” ujar Takiyuddin mengulas minat anggota rombongan terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri Kelantan ketika menyampaikan taklimat di Pusat Penerangan Pelancongan, di sini 2 Februari lalu.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa banyak perubahan dan pendekatan yang dirintis Kelantan telah diambil pakai kerajaan-kerajaan negeri lain di negara ini.

Terdahulu, rombongan telah diraikan dalam majlis makan malam dan persembahan kebudayaan di Kompleks Gelanggang Seni, di sini 1 Februari lalu.

Menunggu bas di hadapanHospital Sultan Abdul Halim, Sg Petani

Makan tengahari di Perpustakaan Awam Baling

Di ruang utama Perpustakaan Awam Baling

Nasi Palau resepi dari Timur Tengah, Izwan pelahap sampai 3 pinggan

Persembahan unik termasuk menggunakan bahan buangan

Ucapan simbolik saya menyentuh mengenai lebah dan kambing

Berbalas cenderamata

Orang-orang kuat saya di Majlis Kebudayaan

Tiga cikgu pencen yang masih tak lekang dengan buku

Cuba teka umur abang saya ni?

Jemputlah Kelantan mai Kedah pula

Semalam dapat dah, hari ni dapat lagi


Tiada ulasan: