
Dr Hamdan sedang memerhati pemain baru Skuad Kenari meneliti kontrak pada majlis menandatangani kontrak di Alor Star semalam.
Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Khalib berkata, Kedah hampir menyelesaikan misi untuk memperkemas posisi yang ditinggalkan awang import selepas tiga pemain berkenaan bersetuju untuk beraksi bersama skuad Hijau Kuning.
"Mohd. Farizal akan ditugaskan di bahagian serangan dan Mohd. Azrul akan bermain di posisi sayap manakala Shahrulnizam akan mengetuai jentera tengah bersama Fauzi Shaari seperti yang dilakukan Nelson Sam Martin sebelum ini.
"Pencarian kami akan berakhir apabila kami berjaya mendapatkan bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Hafif Amiruddin yang akan menggalas tugas sebagai pertahanan," katanya selepas majlis tandatangan kontrak pemain baru Kedah di Alor Star semalam.
Jelasnya, pemain-pemain baru yang dilamar itu juga tidak dijanjikan gaji yang lumayan dan sebarang kemewahan, sebaliknya mereka akan mendapat penjagaan kebajikan yang terbaik daripada KFA. Kedah terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin yang dipercayai sedang mendapat tawaran lumayan dari pasukan lain. Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, Mohd. Farizal yang menjadi buruan skuadnya akan digandingkan dengan Khyril Muhymeen Zambri manakala Mohd. Azrul terpaksa bersaing untuk mengambil kedudukan Mohd. Fadzly Baharom yang juga bintang muda Kedah.
Proses untuk memantapkan pasukannya akan berakhir sebelum latihan dimulakan semula pada 23 Oktober ini. "Ketika ini, Kedah mempunyai 23 pemain (termasuk pemain baru) dan dua kekosongan untuk mencukupi kuota 25 pemain akan mencukupi apabila dua pemain Piala Presiden dinaikkan pangkat selepas ini," ujar Azraai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan