Rata-rata kesal dengan sikap MPSPk yang tidak semena-mena mengeluarkan notis sedangkan sebelum ini mereka tidak bertindak sedemikian.
Petang semalam, kira-kira 100 daripada 500 pengusaha dari seluruh Sungai Petani berkumpul di restoran di Taman Nilam, bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai, Dr. Hamdan Mohamed Khalib yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah.
Dalam pertemuan tersebut pengusaha terbabit menyampaikan rasa tidak puas hati pengusaha terbabit terhadap MPSPk serta tindakan drastik setelah Kerajaan Negeri pimpinan PAS berjaya menawan Kedah pada pilihanraya umum lepas.
Bagi mereka ada dua kemungkinan boleh berlaku dalam MPSPk samada mahu memburukan pemerintahan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) atau ia memang usaha MPSPk dengan persetujuan Kerajaan Negeri.
Penaung Persatuan Pedagang-Pedagang Burung Layang-Layang Malaysia, David Lim menegaskan, jika usaha MPSPk dengan persetujuan Kerajaan Negeri ia amat memalukan kerana selama pemerintahan Barisan Nasional (BN) mereka tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu.
Jika seandainya bermatlamat memburuk-burukan Kerajaan Negeri mereka berharap Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak mengambil tindakan terhadap Yang DiPertua MPSPk, Adzami Din kerana membelakangkan pandangan kerajaan.
"Jika andaian kedua terbukti sila bertindak segera pada YDP MPSPk yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan notis tanpa pengetahuan exco atau kerajaan PR, " jelasnya.
Beliau yang juga peneraju masyarakat Cina dalam usaha meningkatkan sokongan pada PAS dalam pilihan raya umum lalu mahukan, Kerajaan Negeri masuk campur segera kerana kebanyakan masyarakat cina di situ termasuk pengusaha berkenaan memberi undi pada Pakatan Rakyat.
Mereka sambungnya, percaya hanya PAS boleh melakukan perubahan untuk mengembalikan pemerintahan mengikut landasan yang betul.
Kerajaan Kedah patut memberi kebenaran kerana selain pengusaha membeli rumah kedai yang tidak terjual mereka juga penjana ekonomi hasil penjualan sarang burung layang-layang itu.
"Kerajaan Kedah hendaklah meniru langkah kerajaan Perak khasnya di Manjung yang meluluskan permohonan mereka melaksanakan pemeliharaan berkenaan, " ujarnya.
Sementara itu, Dr Hamdan ketika mengulas kejadian ini meminta pengusaha tersebut membawa modul dari Manjung, Perak untuk diketengahkan kepada Kerajaan Negeri.
Mudah-mudahan hasilnya, Kedah pula berjaya menjadi negeri contoh dalam usaha mempergiatkan perniagaan ini pada masa depan.
"Apa pun yang penting ialah modul yang diperkatakan oleh para peniaga yang bertanggungjawab agar dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri mudah-mudahan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan, " katanya dalam pertemuan tersebut.
Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan MPSPk supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menimbulkan keresahan pada peniaga tersebut.
Pemeliharaan burung layang-layang menjadi satu 'trend' kini di kalangan masyarakat Cina apabila pasarannya begitu melonjak terutamanya dari Negara China. Sekitar Sungai Petani terdapat 500 pengusaha manakala seluruh Kedah sebanyak 2000 orang yang menjalankan perniagaan tersebut.



+of+PRU12+095.jpg)




