Dicekup selepas sembilan jam bertunang
ALOR SETAR 11 Feb. - Sepasang kekasih ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) kira-kira sembilan jam selepas mereka bertunang dalam satu operasi mencegah maksiat di sebuah motel murah di sini malam tadi.
Pasangan berkenaan dikatakan baru selesai melangsungkan majlis pertunangan pada petang semalam sebelum dicekup kerana didapati berkurung di dalam motel itu kira-kira pukul 12 malam tadi.
Difahamkan, lelaki tersebut yang berusia 21 tahun bekerja sebagai pemandu mesin padi manakala pasangannya, 20, pula merupakan pembantu tadika.
Mereka merupakan antara enam lagi yang ditahan JHEAIK di motel tersebut.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Sheikh Muhammad Suhaimi Mohd. Salleh, serbuan ke atas motel murah di simpang Kuala di sini itu dibuat kerana ia antara pilihan orang ramai untuk melakukan maksiat.
Katanya, kesemua pasangan yang ditahan dihantar ke pejabat Hal Ehwal Agama Islam Kedah untuk diambil keterangan.
''Mereka bakal didakwa di bawah Seksyen 9 (1) (2) Enekmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak," katanya.
1 ulasan:
salam YB. saya amat tertarit dengan tajuk ini.. " Amar Makruf Nahi Mungkar "..
Catat Ulasan