Jumaat, 30 Januari 2009

Temubual dengan Wartawan Siasah

Dr Hamdan minat kerja amal hingga ke Gaza

KHIDMAT masyarakat memang tumbuh membekas kukuh di dalam jiwanya. Berasaskan bidang profesionalnya, Dr Haji Hamdan Mohamed Khalib tidak boleh memisahkan dirinya dari kerja-kerja amal itu meskipun kini sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Jika dulu sebagai pengamal perubatan, Dr Hamdan memberikan khidmatnya pada masyarakat hanya di dalam bilik kliniknya sahaja namun selepas itu, bila bergiat di dalam Unit Perubatan Yayasan Amal Malaysia, medan khidmatnya menjadi lebih luas.
Beliau baharu sahaja pulang dari menyertai Pasukan Relif Yayasan Amal Malaysia ke Gaza, Palestin bermula dari 15 hingga 24 Januari 2009. Menurut catatan di dalam blog peribadinya, sehingga kini sebanyak 15 misi perubatan yang besar telah disertainya.

Antaranya bantuan untuk mangsa:-
1. Peperangan Afghanistan - Misi di sempadan Iran dan Afghanistan. Tiada masalah birokrasi Kerajaan. Masuk ke Herat. Satu-satunya NGO dari Gerakan Islam yang berjaya masuk ke dalam Afghanistan.
2. Gempa bumi BAM Iran - misi melalui Iran. Tiada halangan kerajaan. Bantuan Perubatan di lapangan, kewangan dan barangan asas dan kewangan kepada anak yatim dan sekolah-sekolah.
3. Tsunami di Aceh - misi sampai pada hari keempat atas arahan PAS Pusat.
4. Bantuan pada mangsa peristiwa Tsunami di dalam negeri seperti di Kedah dan Pulau Pinang, juga ke Sri Lanka dan Phuket. 5. Gempa bumi di Kashmir (Balakot, Muzaffarabad dan Bagh).
6. Gempabumi di Jogjakarta dan letusan Gunung Merapi - bantuan perubatan di lapangan dan bantuan kewangan - kerajaan tiada masalah, hubungan dengan gerakan Islam PKS.
7. Gempabumi di Padang dan Bengkulu - bantuan perubatan di lapangan, kewangan dan barangan, kerajaan tiada masalah, hubungan bersama PKS.
8. Peperangan Hezbollah-Israel di Lebanon - misi bantuan kewangan dan perubatan lapangan. Kerajaan tiada masalah, bertemu Hamas di Syria
9. Taufan/Siklon SIDR di delta Bangladesh - misi bantuan perubatan di lapangan dan kewangan serta barangan asas. Kerajaan tiada masalah, hubungan dengan Jamiat Islami Bangladesh.
10. Misi ke Myanmar dan China dengan membawa wang daripada Kerajaan Selangor. Masalah dengan kerajaan. Bantuan kewangan dan barangan hanya dengan pihak kerajaan Junta Myanmar dan China. Tugasan perubatan pun masalah untuk dilaksanakan.
11. Mindanao - Bantuan perubatan lapangan, kewangan dan korban Hari Aid Adha. Tiada masalah dengan kerajaan, hubungan dengan Bangsa Moro Development Agency, Bangsa Moro Medical Society dan 12 NGO Islam yang lain. Kini sedang menyediakan laporan Kesan Peperangan dan cadangan Pembangunan Semula Masyarakat Mindanao kepada IDB.
12. Islam Selatan Thailand - ibadah Korban bersama Youth Muslim of Thailand.
13. Kemboja - Ibadah korban dan aktiviti Khatan beramai-ramai, hubungan dengan Jabatan Mufti, Persatuan Imam, Persatuan Perubatan Islam Kemboja.
14. Sabah dan Serawak - Ibadah Korban dan Perubatan Lapangan bersama JAKIM dan MAIS
15. Misi ke Palestine.

Beliau berkata, terlalu banyak halangan yang dihadapi untuk ke Palestin antaranya halangan birokrasi Kerajaan Mesir seperti arahan berhelah. Setiap hari arahan di pintu sempadan berubah-ubah untuk sukarkan bantuan masuk.

"Urusan Kedutaan Malaysia pula mesti melalui Wisma Putra dan kerjasama kedutaan di Mesir, dalam pada itu urusan dengan Ikhwan dan Hamas diteruskan juga.

"Namun kami tetap nyatakan keutamaan kita untuk beri bantuan kewangan kepada Hamas, Hizbollah dan Ikhwan Muslimin untuk membawa amanah umat Islam di Malaysia," tegasnya.

Meskipun begitu, beliau yang juga Adun Tanjung Dawai, Kedah mengucapkan terima kasih pada semua pihak terlibat termasuk jemaah pelajar Mesir yang terlibat dalam perancangan ke sana.

Beliau yang dari awal penglibatan dalam khidmat masyarakat ini memang kukuh dan tegap bersama dengan Yayasan Amal Malaysia yang baginya adalah NGO Gerakan Islam dan NGO Naungan PAS, menggerakkan misi bantuan kemanusiaan dalam dan luar negeri, laksanakan misi atas amanah masyarakat, kewangan adalah limitasi utama dan sifat Sukarelawan- Fisabilillah.

Dr Hamdan terus menyatakan hasratnya untuk terus beramal demi Islam bersama Yayasan Amal Malaysia. Ketika hendak meninggalkan bumi Palestin, katanya, hati terasa sangat sayu untuk tinggalkan bumi Palestin walaupun mereka hanya dapat membantu di sempadan.

"Aku berjanji kepada Allah untuk kembali ke bumi Palestin ini sekali lagi. Ku pohon restu-Mu Ya Allah. Selamatkanlah saudara-saudaraku di bumi Gaza. Hancurkanlah musuh agamaMu- Yahudi LaknatulLah.

"Untuk kita di Malaysia, teruskan perjuangan untuk mendaulatkan Islam, jangan main-main dalam perjuangan ini terutamanya kepada pimpinan seperti saya sendiri. Berani kerana Islam. Jangan banyak berdalih lagi..Takbir! - IBH

Ikuti Temubual bersama Wartawan Siasah, Ismail Hashim

Masyarakat menyaksikan bagaimana YB telah berperanan sebagai seorang wakil rakyat dengan baik sekali. Tahniah dan agar terus kuat bersama dengan rakyat.

Siasah: Berkhidmat pada masyarakat memang telah berakar umbi dalam jiwa YB Apa perasaan bila mendapat peluang beramal dalam masyarakat ini, jika dulu masih kecil ruangnya, kini medannya sudah semakin membesar?

Dr Hamdan: Salam, terima kasih atas keperihatinan pihak tuan terhadap Amal Malaysia dan Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.
Saya merasakan kerja-kerja amal amat berkait rapat dengan profesion saya sebagai seorang doktor perubatan. Kerja-kerja amal ini melangkaui batasan sempadan negeri atau negara, agama dan bangsa. Namun untuk kita bersama dengan kerja-kerja amal ini, kita mesti mampu untuk korbankan tenaga, masa, wang ringgit malah kadang-kala mesti sanggup menghadapi apa saja risiko yang terkait dengannya.

Contoh, semasa menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan di Lebanon, kami dibom oleh Israel ketika bertemu dengan pimpinan Hezbollah. Tapi apa yang pasti, saya merasakan, semua misi yang saya lalui memberikan semangat kepada saya untuk terus bersama lagi dalam mana-mana misi kerana di sana saya akan merasai kebesaran Allah dalam menduga kesabaran umat-Nya.

Siasah: Jika sudah minat, semua kerja menjadi. Kini YB telah diberikan amanah yang banyak dan bertindan. Bagaimana YB dapat bahagikan masa untuk menjayakan semua yang dipertanggungjawabkan.

Dr Hamdan: Emm... soalan yang popular untuk mana-mana orang yang diberi amanah menjadi pemimpin. Sebenarnya, semua kita ini diutuskan oleh Allah ke dunia ini sebagai khalifah. Sekecil-kecil Khalifah adalah sebagai ketua keluarga.

Masa sehari ada 24 jam; itu bukan tanda pengukurnya. Sebenarnya amanah itu perlu kita kongsikan bersama untuk kita menguruskan kerja-kerja kita supaya ruang masa tidak menjadi persoalannya.

Contoh dalam pengurusan rumahtangga, isteri saya banyak berkorban, juga dengan anak-anak..tanpa kerjasama mereka, saya tidak mampu uruskan urusan keluarga..sokongan mereka akan menjadi saya lebih bertenaga.

Dalam urusan pentadbiran kerajaan, saya mesti mendapatkan kerjasama daripada pegawai-pegawai dan rakan-rakan untuk bekerjasama bagi melaksanakan program. Tapi apa-apapun perancangan utama untuk apa saja tanggungjawab mesti kita rangkakan dengan baik mengikut rangka-masa yang kita tetapkan.

Akhirnya dalam menguruskan masa ini, saya meletakkan di atas segala urusan ini adalah doa kepada Allah agar Allah membantu dalam mempermudahkan urusan kita ini.

Siasah: Kita sedia maklum, persepsi orang lain ada yang berbeza. Bagaimana YB dapat menghadapi semua pandangan jengkel atau negatif terhadap usaha-usaha amal sebegini?

Dr Hamdan: Sudah tentu dalam usaha kerja amal kita, mesti ada org yang akan memberi berbagai komentar sama ada berbentuk membina ataupun sebaliknya. Untuk mereka yang masih tidak memahami gerakerja amal ini, menjadi tugas kita menerangkan kepentingannya.

Kalau boleh bawa mereka bersama untuk merasai nikmat melakukan kerja-kerja amal ini. Mudah-mudahan mereka akan menjadi lebih hebat beramal untuk kepentingan masyarakat. Kesimpulannya, jangan jadikan alasan untuk kita tidak melaksanakan misi amal kita disebabkan komentar sinis mereka yang tidak memahami kepentingan melakukan amal kebaikan ini.

Soalan: Ya kita terus berubah ke aras terbaik setiap hari. Apa komen Dr terhadap penerimaan masyarakat dan rakyat terutamanya dengan penampilan stail baru pimpinan Kerajaan PR sekarang?

Dr Hamdan: Umum mengetahui Pilihan Raya 2008, rakyat Kedah telah melakukan perubahan sehingga tumbang kerajaan BN. Kini diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR)

Sudah tentu kehendak rakyat yang melakukan perubahan sangat tinggi. Saya melihat kita ada banyak perkara yang perlu diselami bersama dalam 'kegilaan' perubahan ini:-

1) Interaksi kerajaan PR dengan institusi Istana, ada perkara-perkara yang tersirat dan tersurat di dalamnya,

2) Interaksi kerajaan PR dalam mendekati institusi Pegawai Kerajaan Negeri (KCS) sebab mereka sudah lama terbiasa dengan cara BN, bagaimana pengubahsuaian dapat berlaku. Unsur-unsur sabotaj perlu difikirkan. Namun sangka baik kepada mereka perlu ada, namun apa-pun kita mesti berhati-hati, teruskan doa kita kepada Allah, agar Allah lindungi kita daripada bahaya musuh-musuh kita.

3) Menjaga keamanan di tengah masyarakat berbilang bangsa, mengadaptasikan perubahan melalui pendidikan, kita perlu segera didik masyarakat tentang konsep Islam yang mampu memberikan keadilan untuk semua.

Jadi, masyarakat di Kedah perlu kita berikan keyakinan bahawa kita menghadapi kesemua ini dengan keadaan berhemah. Namun kita sebagai kerajaan juga kena bekerja kuat, kerana semua perkara di atas kalau terlalu lama kita mengambil masa untuk selesaikan, banyak yang akan menikam belakang kita semula.

Saya menyeru kepada diri saya, dekatkan diri kita kepada Allah, bermunajat kepada-Nya agar segala tindak-tanduk kita dipelihara oleh-Nya. Hatta dalam keadaan kita menghadapi apa jua tekanan nanti.

Syaratnya sama seperti saudara kita di Gaza laungkan, 'Selagi mana kami tidak lakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, selagi itu Allah akan membantu kami menentang kekejaman rejim Yahudi Laknatullah'...samalah dengan kita disini, kena yakin dengan bantuan Allah, cumanya kita jangan banyak berhelah dalam perjuangan ini.

Siasah: Rasa tidak puas hati mesti ada dalam jiwa sesiapa. Apa plan yang YB ingin lakukan untuk menaikkan lagi graf khidmat masyarakat terutama untuk rakyat khasnya?

Dr Hamdan: Pada saya, kita di Kedah,mesti bersama-sama berusaha untuk mengajak masyarakat untuk bersama-sama menjaga negeri Kedah.Kita jangan angkuh, berubah menjadi individu yang tidak seperti kita dahulu..bongkak, tidak dapat mendengar nasihat dan teguran, pendek-kata letakkan diri kita sama seperti org lain, berani kerana Islam, jangan banyak berdalih dalam bekerja.
Program mendekati masyarakat mesti diutamakan, ekonomi negeri kita makmurkan untuk semua, hak semua kaum kita berikan..di masa yang sama kita juga kena ingat, jangan sampai menjadi 'Walaupun kita pemimpin yang baik, tapi kalau tak buat apa-apa, ini akan menjadikan kejayaan untuk kejahatan yang menunggu kita..'

Tiada ulasan: