PETALING JAYA, 28 Jan - Anggota Misi Kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia ke Gaza telah diraikan dalam majlis Malam Prihatin Palestin baru-baru ini.
Majlis tersebut yang diadakan di Dewan Sivik MBPJ,mendapat sambutan ramai apabila lebih 500 orang memenuhi setiap kerusi di auditorium dewan berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba di majlis tersebut,sebelumnya sempat menyalakan lilin (vigil) bersama lebih 100 orang untuk mengutuk serangan Israel ke atas Palestin.
Dalam himpunan ringkas di pekarangan dewan tersebut,Tan Sri Khalid sempat berucap dengan melaungkan kecaman ke atas Israel dan kezaliman ISA.
"Syukur anda semua dapat hadir berhimpun,walaupun ada halangan daripada polis tetapi kehadiran anda semua cukup bermakna.
"Himpunan malam ini bukan sahaja untuk mengecam tindakan Israel tetapi juga untuk melahirkan tentangan kita ke atas undang-undang kejam seperti ISA dan OSA.Kita bantah ISA,OSA,"laungnya sambil disambut oleh orang ramai.
Dalam majlis tersebut,anggota Yayasan Amal Malaysia yang diketuai oleh Adun Meru,Dr Abdul Rani Osman telah diberi kesempatan untuk membuat tayangan 'slide show' aktiviti dan peristiwa yang sempat dirakamkan oleh Yayasan Amal semasa ke Gaza.
Selain tayangan 'slide show' Dr Rani telah memberikan penerangan pada hadirin mengenai pelbagai rakaman peristiwa yang dialami oleh anggota Yayasan Amal ke Gaza.
Selain tayangan tersebut, majlis turut diserikan dengan alunan lagu nasyid daripada Rabbani dan Yassin.
Anggota Yayasan Amal Malaysia yang diraikan dalam majlis malam tersebut adalah Presidennya,Hussin Ismail;Timbalan Presiden,Jamuliddin Elias;Naib Presiden II,Dr Hamdan Mohamed Khalib; Pengerusi Yayasan Amal Selangor,Dr Ahmad Yunus dan wartawan Harakah,Mohd Khalil Abdullah. Selain Tan Sri Khalid antara hadirin di majlis tersebut adalah Ketua Umum KeADILan,Dato' Seri Anwar Ibrahim,Presiden KeADILan,Dato' Seri Dr Wan Azizah dan pimpinan KeADILan,PAS dan DAP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan