Khamis, 29 Januari 2009

MBAS HAPUSKAN PUSAT MAKSIAT

ALOR SETAR – Apabila disebut Lorong Petani, pasti dibayangkan sarang pelacuran yang telah beroperasi sejak 50 tahun lalu. Baru-baru ini, sarang tersebut telah dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam satu operasi dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Agama Islam Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Daerah Kota Setar, Jabatan Bekalan Air Kedah, Tenaga Nasional Berhad serta Keretapi Tanah Melayu Berhad.
Menurut Pengarah Operasi Runtuh, Encik Md Nayan Bahari, kawasan tersebut turut dijadikan tempat kegiatan tidak bermoral seperti penagihan dadah.

Wartawan turut dimaklumkan bahawa kegiatan tersebut melibatkan pelajar belasan tahun serta warga emas lingkungan 40-an dalam menawarkan khidmat pelacuran dan ‘pelanggan’ di kalangan warga tempatan serta pekerja asing.

“Selain bertujuan membanteras kegiatan tidak bermoral, operasi kali ini juga merobohkan beberapa buah rumah setinggan yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api berkembar.

“Walaupun tempat ni dah roboh beberapa kali, ia tetap beroperasi semula kerana tanah tersebut terbiar dan kawasan tersebut turut dikawal oleh tonto yang memberi maklumat jika ada sebarang serbuan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam operasi yang bermula seawal jam 8 pagi, pondok serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan pelacuran tersebut telah diroboh serta dibakar bagi mencegah daripada dibina semula.

“Kami turut merobohkan kandang peliharaan binatang ternakan yang dibina secara haram serta kami dapati sebuah rumah yang dikatakan menjadi ‘master mind’ kepada kegiatan tersebut.

“Rumah yang terlibat untuk dirobohkan telah diberikan notis sebelum ini agar mereka dapat mengosongkan tempat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan,” ujar beliau.

Tambah beliau, diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan dengan satu tujuan membanteras gejala sosial serta maksiat daripada terus berleluasa membunuh anak-anak bangsa kita

Tiada ulasan: