Selasa, 21 Julai 2009

Kedah Serius Tangani Gejala Sosial

Oleh IZWAN ABDUL HALIM dan WAN NORDIN WAN YAAKOB

TANJONG DAWAI: Exco Kerajaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib mengakui bahawa permasalahan sosial ada tanggung jawab sesebuah kerajaan yang mesti diberi perhatian.

Untuk itu, Kerajaan Negeri Kedah katanya, telah menubuhkan unit khas yang menggerakkan usaha-usaha mendekati, mendidik dan mengembalikan khususnya anak-anak muda bermasalah kepada jalan kebenaran.

“Peringkat awal ini urusetia ini mengenengahkan aktiviti dakwah di lapangan iaitu Latihan Aktivis Dakwah Menangani Gejala Sosial atau kita panggil Landas. Landas ini tujuannya kita hendak mendekati, mendidik dan mengembalikan semula anak-anak muda kita ke jalan asalnya, ke jalan yang benar dan baik. Tetapi pendekatannya agak lunak,” maklumnya ketika diwawancara oleh Harakah di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Tanjong Dawai, Pekan Merbok, di sini 10 Julai lalu.

Menurut beliau, Landas bukan sahaja melatih kumpulan masyarakat dari golongan umur sebaya tetapi mahu meluaskannya kepada aktivis masyarakat seperti ketua kampung, imam, jawatankuasa kariah dan sebagainya untuk bersama dalam usaha tersebut mendekati anak-anak muda yang bermasalah.

“Sebab ini perkara yang susah, saya boleh cabar sesiapa pun, kalau kamu lihat satu kumpulan anak muda sedang hidu gam, bagaimana kamu nak ‘approach’ dia? Adakah kamu pergi marah halau mereka? Atau kamu akan duduk berbincang dengan mereka beri pujukan dan didikan? Atau kamu akan biarkan sahaja? Itulah persoalannya sekarang ini, kita tidak ada kebolehan mendekati anak muda seperti ini.

“Jadi kita wujudkan Landas ini kita hendak melatih masyarakat dan dalam masa yang sama mendekati, mendidik dan mengembalikan anak muda yang bermasalah ini ke jalan yang benar,” terangnya.

Maklumnya lagi, aktivis Landas juga turut memasuki premis-premis hiburan bertemu pengusaha terbabit dan mengingatkan mereka mengenai enakmen berkaitan larangan menjual arak kepada orang Islam.

“Kita cuma beritahu kepada pengusaha itu, jadi selepas ini kita harap dari portfolio berkenaan boleh merangka pula satu ‘team’ untuk tujuan penguatkuasaan. Jadi ‘team’ saya ini pergi mendidik dan bagi penerangan sahaja. Selepas ini ‘team’ ini perlu bergabung untuk kerja-kerja penguatkuasaan, itu yang belum berlaku.

“Apapun pada saya, saya melihat isu sosial ini isu yang mesti ditangani dan kerajaan kena bertanggung jawab! Itu tiada kompromi! Persoalan kenapa banyak disko, karaoke, pusat internet melebihi masa, itu tiada kompromi! Kerajaan negerilah kena buat sesuatu.

“Cumanya saya melihat memanglah, kita baru mengambil kerajaan, kita hendak mendekati pegawai-pegawai kita yang mungkin dahulunya tidak bersungguh-sungguh atau melihat isu gejala sosial ini tidak berapa penting. Jadi kita hendak mengajak mereka mungkin makan masa. Begitu juga kita hendak menggerakkan Pihak Berkuasa Tempatan, polis, pejabat agama, pejabat daerah, aktivis masyarakat, akan makan masa jugalah.

“Kalau boleh saya katakan, mungkin dahulunya ada isu rasuah dalam tugas penguatkusaaan. Kalau tidak contohnya macam mana boleh wujud siber cafe 24 jam? Padahal polis boleh ‘anytime’ pergi ambil tindakan. Jadi mungkin isu-isu itu ada. Saya nak kata prejudis itu adalah sebab itulah yang berlaku dahulu,” ujarnya penuh telus.

Tiada ulasan: