Isnin, 20 Julai 2009

Exco Kedah Titip Nasihat untuk Pakatan Rakyat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM dan WAN NORDIN WAN YAAKOB

TANJONG DAWAI: Exco Kerajaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib melontarkan seruan kepada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat agar kekal mentadbir negeri mengikut acuan tersendiri dengan keupayaan yang ada selain menerima hakikat masih terdapat kelemahan untuk diperbaiki.

Dalam wawancara bersama Harakah di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Tanjong Dawai, Pekan Merbok, di sini 10 Julai lalu, beliau turut menyeru agar tidak menganggap diri sebagai ketua sahaja sebaliknya bekerja kuat secara berperingkat selain menunaikan amanah dengan penuh tanggung jawab serta mempertahankan jati diri asal biarpun setelah bergelar Wakil Rakyat.

“Jadi kalau orang ‘komplen’ kepada kerajaan negeri, kita kena terimalah kelemahan itu, tidak boleh olah cara lain dah, kena terima kelemahan itu. Sebab itu saya beritahu kepada rakan-rakan saya, juga masyarakat India dan Cina, saya katakan Kerajaan Pakatan Rakyat ini tidak bagus lagi, masih ada lemah dan perlu diperbaiki, perlu menerima pandangan, teguran. Cumanya kita bernasib baik, rakyat sudah ‘confirm’kan BN memang tidak baik!

“Sekarang ini rakyat menerima itu lagi, tetapi kalau kita lama sangat tak baiknya, payah juga, serupa BNlah, jadi kita perlu perbaiki. Macam kemenangan pada pilihan raya kecil yang lalu jangan jadikan kita seronok, kita kena lihat masyarakat masih boleh menerima kita walaupun kita belum baik lagi. Tetapi kalau kita biarkan, kalau kita anggap kemenangan itu sebagai kehebatan kita, agak berisikolah kalau kita ada anggapan itu.

“Apapun kita kena bergerak berperingkat, jangan terlampau drastik nanti kita keletihan. Saya orang yang takut bercakap nanti tak boleh buat. Cakap tu kena ada batasannyalah, jadi kita kena buat berperingkat agar kita dilihat menuju ke arah itu. Sebab itu saya tidak kecil hati bila orang kata kepada Kedah, tak mengapa. Sebab kita ada kita punya acuan dan kita tahu kita punya acuan macam mana dan kita kena ikut pengisian acuan kita macam mana. Kita tak perlu tergopoh-gopoh.

“Di mana-mana saya cakap bila kita dapat kerajaan ini, saya anggap anugerah yang mutlak dari Allah Taala. Sebab kita memang lemah, tetapi diberi keizinan untuk memerintah. Kita memang lemah, PAS lemah, DAP lemah, PKR lemah, tiba-tiba diberi nikmat untuk memerintah,” muhasabahnya sebagai nasihat.

Beliau turut mengakui bahawa sebagai pemerintah baru perlu memulakan segala-galanya selain menuntut pengorbanan yang besar.

“Kalau kita hendak harapkan kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri ini mereka baru menerima sistem kerajaan macam ni....akan ada unsur bekerja dengan lambat, ‘taboo’ mungkin, sabotaj dan sebagainya. Itulah senario yang kita hadapi sekarang ini.

“Jadi kita memulakan semuanya, bukan orang buat untuk kita, dulu orang buat untuk kita. Sekarang ini kitalah pengerusi semua program, itulah bezanya. Kita kena atur kita punya jawatankuasa, kena libatkan agensi berkenaan, so kena penat sikitlah.

“Saya harap YB kita pun jadilah YB yang bertanggungjawab kerana sekarang orang lihat kita, jangan kita leka. Macam kata Abraham Lincon, jika hendak kenal seseorang, berilah dia kekuasaan. Jadi dah dapat kuasa janganlah kita berubah, kalau sebelum jadi YB kita macam ni, bila jadi YB pun kena begitu juga. Jangan menyebabkan masyarakat jadi keliru.

“Memang dari segi kehidupan kita kena susahlah, banyak pengorbanan, nak kena buat ‘adjustment’ dengan keluarga, dengan masyarakat, dengan duit kita tidak ada kita kena korbankan duit isteri, duit bisnes dan sebagainya kita kena korbanlah. Tetapi yang pentingnya, niat kita kena betul, kalau korban, niat tak betul, rugilah. Jadi sesiapapun, cabaran hidup kita hadapi begitulah. Ringkasannya bukan mudahlah nak memerintah, banyak elemen yang kita kena bentuk diri kita dan jamaah kita bila memerintah. Tetapi bila dah beri amanah, kita kena jalankan,” katanya menitip peringatan.

Beliau turut mengingatkan kepada empat elemen yang perlu diberi perhatian iaitu hubungan dengan pihak istana, kerjasama dengan pentadbir, menguruskan gelojak perubahan rakyat masaa kini dan menggerakkan agenda dalam keterbatasan dana.

Selain itu, beliau turut melahirkan harapannya agar Harakah memainkan peranannya untuk memperkenalkan Kerajaan Pakatan Rakyat dan menjadi rujukan utama masyarakat untu mengenali Pakatan Rakyat

“Kita juga harap Harakah kena berperanan dalam mempromosikan kerajaan kita dan kita punya dasar. Kena main peranan banyaklah supaya Harakah dilihat akhbar rujukan kepada masyarakat untuk dilihat di mana kerajaan kita,” ujarnya pada wawancara itu.

Tiada ulasan: