SUNGAI PETANI – Pihak Urusetia Menangani Gejala Sosial Negeri Kedah telah mengadakan Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-isu Sosial (LANDAS) pada 15-16 Disember 2008 di Sungai Petani Kedah. Seramai 6 orang penggerak dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datuh, Perak dan 7 orang muslimat aktivis LANDAS dari Negeri Sembilan dan Kedah telah berjaya mengikuti latihan secara teori dan praktikal.
Secara praktikalnya, semua aktivis dakwah telah dibawa ke lapangan untuk melihat secara dekat masalah gejala sosial di kawasan Bandar Sungai Petani dan kawasan persekitarannya. Agenda pertama telah dimulakan dengan taklimat dan pengisian secara teori kemahiran berkomunikasi dan berintraksi dakwah lapangan ketika berhadapan dengan pelbagai isu gejala sosial remaja dan belia.
Selepas pendedahan secara teori dilaksanakan, peserta juga telah dibawa ke lokasi hidu gam dan minum arak di persekitaran bangunan PKNK dan belakang Wisma Bandaran sungai Petani. Kemudian perserta juga di bawa melihat dan berintraksi dengan beberapa orang remaja dan belia di tingkat 5 Central Square. Aktivis muslimin dan muslimat juga telah cuba berkomunikasi dengan beberapa orang remaja yang mabuk dengan memberikan nasihat supaya tidak terus menerus melakukan dosa besar dan akibat menjadi penagih arak.
Sebelah malamnya pula mereka telah menjalankan dakwah secara praktikal mendekati remaja dan dewasa yang berada di Kafe Bar dan pusat Karaoke. Pada mulanya mereka terasa tidak begitu selesa suasana di tempat tersebut dengan botol-botol arak dan gelas arak yang terhidang di atas meja. Sesi akhirnya perserta juga telah merancang agenda bertindak kerja-kerja lapangan untuk dilaksanakan di negeri Perak, khususnya di kawasan Bagan Datuh.
Akhir sekali pada sebelah petangnya sebelum peserta pulang ke negeri masing-masing, mereka juga sempat bertemu dan mendengar penerangan serta berdialog dengan YB Dr Haji Mohamed Khalib, Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan Kebudayaan, Negeri Kedah Darul Aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan