Sabtu, 20 Februari 2010

Kedah-Satun Erat Hubungan Dua Hala

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SATUN, THAILAND: Negeri Kedah dan Wilayah Satun di Thailand telah sekian lama menjalin hubungan dua hala melibatkan kepentingan, kerjasama dan penyertaan dalam pelbagai bidang antara kedua pihak.

Malah menurut sejarah, sehingga tahun 1813, Satun merupakan sebuah mukim Negeri Kedah yang dikenali sebagai Mukim Setul. Namun, akibat perjanjian British dengan Siam pada 1909, Setul telah diserahkan kepada Siam oleh Kerajaan British ketika itu.

Selain itu, menurut lagenda Mahsuri, penduduk di Pulau Langkawi berhijrah ke Setul ketika kepulauan itu melalui zaman-zaman sumpahan.

Jika pada pertengahan tahun lalu delegasi Kerajaan Wilayah Satun mengadakan kunjungan hormat ke Wisma Darul Aman, sebagai kunjungan balas, wakil dari Kedah diketuai Exco Kerajaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib pula telah menemui Gabenor Wilayah Satun, Dr Sumeth Chailertvanitkul di Dewan Kerajaan Wilayah Satun di Daerah Muang, di sini 12 Februari lalu.

Kunjungan hormat itu dilakukan sempena penyertaan Kedah dalam Festival Layang-layang Antarabangsa Satun 2010 yang berlangsung di sini pada 12 hingga 14 Februari lalu.

Walaupun mempunyai jadual padat pada hari itu, namun setelah diberi maklum mengenai kedatangan rombongan dari Kedah, Dr Sumeth segera meluangkan masa untuk menerima kunjungan tersebut.

Pada pertemuan tersebut, Dr Sumeth begitu teruja menerangkan komitmen Satun berhubung rancangan bersama Thailand – Malaysia untuk membina Lebuhraya Satun – Perlis termasuk melibatkan pembinaan sebuah terowong sepanjang dua kilometer di sempadan kedua-dua negara.

Ujarnya, pembinaan terowong dianggarkan berharga RM200 juta itu akan dibiayai bersama kedua negara di mana dengan terbinanya lebuh raya itu nanti akan menjimatkan masa lebih satu jam berbanding laluan sedia ada.

Malah pembinaan itu katanya, akan merancakkan lagi perkembangan Wilayah Satun kerana akan menjadi laluan pantas dari Hatyai untuk ke Malaysia.

Beliau turut berbangga memaklumkan mengenai majoriti penduduk Muslim di wilayah itu selain masih ramai di kalangan mereka yang bertutur dalam Bahasa Melayu.

Sementara itu, Dr Hamdan dalam ucapan balasnya melahirkan harapan agar hubungan kedua pihak kekal dipererat dan diperluaskan termasuk pada portfolio dipegang beliau antaranya sukan, kebudayaan, kesenian dan warisan.

Pada kunjungan tersebut, rombongan Kedah turut menghulurkan sumbangan peribadi masing-masing bagi tujuan pembinaan terowong Lebuhraya Satun – Perlis itu.

Terdahulu, rombongan diraikan Timbalan Gabenor Satun, Chusak Maneechayangkoon dalam majlis makan malam di tepi pantai Ban Pak Bara, di sini pada malam sebelumnya.

Dalam pertemuan itu, rombongan berkesempatan mendapat penerangan dari Chusak mengenai pentadbiran kerajaan dan sistem politik yang diamalkan di negara itu.

Sepanjang di Satun, rombongan Kedah telah mendapat layanan penuh dari Timbalan Ketua Eksekutif Pertubuhan Pentadbiran Kerajaan Wilayah Satun, Rosee Baikadem.
Bersama Encik Bak, tokeh ladang buah mata kucing

Dihadapan replika patung bekas Gabenor Satun, Tengku Kudin Kume

Dihadapan pejabat pentadbiran Kerajaan Wilayah Satun bersama Encik Chusak

2 ulasan:

Stone525i berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Stone525i berkata...

Assalamualaikum YB Dr .. silalah ke blog saya untuk gambar YB semasa acara Cub Prix di stadium Alor Setar semalam ... http://mimpi-senja.blogspot.com/2010/03/yb-yb-pakatan-rakyat-di-cub-prix-alor.html.

Untuk pengetahuan YB Dr juga saya adalah besan kepada En Illias, Pegawai Khas Ecxo YB.