Selasa, 8 Jun 2010

Bersama Kontinjen SUKMA Kedah




ISNIN, 07 Jun 2010 – Atlet Kedah yang bakal mewakili Negeri kedah ke persaingan SUKMA 2010 di Melaka mensasarkan untuk membawa pulang sebanyak 35 pingat emas di temasya SUKMA 2010 yang bekal berlangsung pada minggu hadapan. Itu antara hasrat Ketua Kontinjen Negeri Kedah untuk SUKMA 2010 yang dinyatakan pada Majlis Penyerahan Bendera yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman, UUM Sabtu lalu.

Segala persiapan dari segi fizikal dan mental para atlet telah berada pada tahap bersedia untuk menempuh sebarang kemungkin pada persaingan sukan tersebut. Kedah yang bakal menghantar seramai 426 atlet dengan penyertaan sebanyak 30 acara daripada 37 acara yang dipertandingkan.

Sasaran yang diletakkan oleh Ketua Kontinjen Yang Berbahagia Dato' Haji Khazali bin Haji Din (Datuk Bandar Alor Setar) itu apabila melihat prestasi yang ditunjukkan oleh semua atlet setelah menjalani sesi latihan pusat selama 2 bulan. Beliau juga berharap agar para atlet mempamerkan aksi yang cemerlang dan terus mencapai kejayaan terutama dalam bidang sukan yang sebelum ini kurang menonjol.

Menurut YB Dr. Hamdan ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, beliau berharap pihak kerajaan Negeri memikirkan insentif yang bakal diterima oleh para atlet sebagai pembakar semangat mereka. Tambah beliau lagi, kejayaan pada musim SUKMA di Terengganu yang lalu akan dikekalkan pada tangga ke-6 namun pencapaian pungutan pingat akan ditingkatkan.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah berucap ketika majlis tersebut, pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa di belakang kontinjen dan mendoakan yang terbaik buat mereka. Selain itu, beliau juga mengingatkan para atlet agar sentiasa mengekalkan disiplin dan menjaga imej Negeri Kedah. Beliau pada majlis tersebut turut memaklumkan berita gembira kepada para atlet iaitu pemberian insentif kepada atlet yang menyumbang pingat emas sebanyak RM 3500 sekiranya sasaran 35 pingat emas berjaya dicapai. Sekiranya kontinjen Kedah tidak berjaya mecapai sasaran 35 emas, insentif yang bakal diterima masih kekal pada kadar sama iaitu RM 3000 untuk pingat emas.


Selain penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen, pada majlis tersebut juga pihak Kerajaan Negeri menyampaikan ganjaran kepada atlet Negeri Kedah yang telah mengharumkan nama Negara. Roslinda Shamsu, atlet olatraga Negara (lompat galah) mendahului senarai penerima dan beliau merupakan ikon atlet Negeri Kedah. Selain atlet olahraga, atlet wushu, badminton, angkat berat, berbasikal dan taekwando diberi penghargaan apabila mempamerkan aksi cemerlang pada saingan Sukan SEA di Laos dan SUKMA yang lalu.

Ruszatul Zanariah, atlet berbasikal untuk SUKMA 2010 ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, beliau berharap agar pasukan berbasikal Negeri Kedah mampu untuk member saingan yang hebat dan bakal membawa pulang sesuatu yang bermakna buat Negeri Kedah. Memperlihatkan semangat dan kesungguhan para atlet, beliau berkata harapan untuk kontinjen Kedah memburu 35 pingat emas adalah tidak mustahil. Beliau yang berpengalaman mewakili Negeri Kedah di peringkat SUKMA sebanayk 5 kali itu turut menyimpan hasrat agar pasukan berbasikal Negeri Kedah akan membawa pulang 4 pingat emas untuk saingan di Melaka pada kali ini.