MERBOK, 10 Jun: Pihak yang bertanggungjawab diminta mengambil tindakan segera membaiki semula sebuah titi yang sudah uzur di Kampung Kuala Segantang Garam, di sini yang dibina sejak 1969.
Seorang penduduk, Abdul Rahman Saad, 67, ketika ditemui berkata, keadaan titi yang sudah uzur itu amat merbahaya dan tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi masalah itu. "Titi itu sangat kecil dan menyukarkan lori dan mesin padi untuk melaluinya kerana titi kayu itu sudah reput," jelasnya.
Menurutnya, titi kayu itu perlu diganti dengan titi simen dan secara tidak langsung, memudahkan lori dan mesin padi untuk melaluinya. "Pakcik berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera dengan menggantikan titi kayu ini dengan titi simen," ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, masalah untuk menyediakan titi yang baru terletak di bawah peruntukan sebanyak RM150,000. "Untuk perkara ini, kita akan majukan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah itu," katanya.
Beliau menjelaskan, dalam isu ini, kita perlu menunggu giliran dan penduduk diminta bersabar. "Bagaimanapun, saya sudah mendapat maklumat berhubung perkara itu dan kita akan tengok dulu apa yang perlu dilakukan agar masalah yang berlaku itu dapat diatasi segera," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan