KUALA LUMPUR 28 Mei - ''Tahun 1960-an jarang-jarang. 1970-an kadang-kadang. 1980-an kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. 1990, selalu ada. Masuk alaf baru, macam cendawan tumbuh selepas hujan.''
Ungkapan pegawai pendakwa syarie, Abdul Halim Abdullah ketika mengemukakan bantahan terhadap rayuan untuk mengurangkan hukuman oleh pasangan yang dituduh berkhalwat di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mampu membuatkan sesiapa yang mendengarnya tersenyum sendiri.
Bagaimanapun ungkapan tersebut bukan bermaksud gurauan sebaliknya satu kenyataan pahit kerana ia menggambarkan jenayah khalwat yang semakin berleluasa dan serius di kalangan umat Islam.
Pasangan itu adalah antara lapan pasangan yang didakwa hari ini atas tuduhan berkhalwat di sekitar ibu kota antara Disember tahun lalu dan Februari lepas.
Selain 16 orang tersebut, dua lagi tertuduh masing-masing didakwa berkhalwat bersama warga Myanmar bukan beragama Islam dan bersubahat membantu perlakuan khalwat.
Pada prosiding hari ini yang dijalankan di dua Mahkamah Tinggi Syariah, seramai 12 orang mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat, tiga mengaku tidak bersalah dan seorang didenda kerana bersubahat membantu perlakuan tersebut.
Satu lagi pasangan iaitu Mohd. Ab. Halim Kamaruzaman, 21, dan Norizan Musa, 22, masing-masing dikenakan waran tangkap oleh Hakim Syarie, Mohd. Radzi Abd. Latif.
Waran tangkap itu akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Bagi tertuduh yang mengaku bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM2,000 dan RM3,000. Terdapat juga pesalah yang dikenakan hukuman penjara antara tiga dan 30 hari.
Yang mengaku tidak bersalah ialah Mohd. Norhafizul Mohd. Noora'ae dan teman wanitanya, Maz Iramaya Maznan dan seorang anggota tentera, Tengku Mohd. Faisal Engku Mahmood Mahedden.
Ketiga-tiga mereka dibebaskan secara ikat jamin antara RM2,000 dan RM2,500 dengan seorang penjamin setiap seorang.
Pertuduhan bagi kesalahan khalwat dibuat mengikut Seksyen 27(a) dan (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan bersubahat dalam melakukan khalwat pula, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 43(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.
Beberapa kes turut didengar oleh Hakim Syarie, Mohamad Adib Husain. Selain Abdul Halim, pendakwaan dikendalikan dua pegawai pendakwa syarie lain iaitu Amir Yahaya dan Umamuddin Yunus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan